Monday, July 12, 2010

Utusan Online | LAUTAN BUNGA DI PUTRAJAYA

Oleh THOMAS CHONG
utusanputrajaya@utusan.com.my

PUTRAJAYA 11 Julai - Bunga merupakan tumbuh-tumbuhan yang begitu sinonim dengan kaum wanita sehingga kita sering menggunakan perumpamaan seindah bunga untuk menggambarkan gadis berwajah cantik.

Peminat bunga-bungaan bagaimanapun tidak terhad kepada wanita sahaja. Kecantikan semula jadinya turut menawan hati lelaki mahupun kanak-kanak.

Seperti diduga, festival bunga dan taman Putrajaya atau lebih dikenali sebagai Floria Putrarajaya 2010 yang dianjurkan buat kali ketiga telah menarik kunjungan pelawat pelbagai lingkungan umur dari dalam dan luar negara.

Festival itu telah mengubah wajah tapak Monumen Alaf Baru di pesisiran tasik Presint 2, Putrajaya kepada lautan bunga yang semestinya memukau setiap peminat bunga.

Keharuman bunga yang boleh dihidu dari jauh seakan-akan mengalu-alukan kedatangan setiap orang ke festival ini.

Melangkah masuk ke tapak festival, pengunjungnya pasti terpegun dengan keindahan 400,000 spesies tumbuh-tumbuhan berbunga yang disusun dan dipamerkan menggunakan pelbagai cara yang menarik.

Destinasi yang tidak boleh terlepas ketika melawat festival ini ialah astaka flora dalaman yang mempamerkan bunga dalam pelbagai tema seperti Taman Heliconia Eksotik, Taman Antarabangsa, Taman Cahaya Senja, Arca Bunga dan Dinding Bunga.

Floria Putrajaya turut menampilkan kreativiti peserta dalam gubahan bunga-bungaan hidup.

Turut dipamerkan hasil rekaan dan gubahan oleh pemenang anugerah United Kingdom, Australia, Jepun, Kanada, Taiwan, Belanda, New Zealand, Indonesia dan Serbia.

Setelah penat melihat bunga berwarna-warni, eloklah rehatkan mata dengan menikmati kehijauan pokok-pokok bonsai yang semestinya menarik perhatian peminat aktiviti perkebunan.

Floria 2010 bertemakan keindahan tropika yang menggambarkan kecantikan alam semula jadi yang diceriakan dengan pelbagai bunga-bungaan tropika yang unik, berwarna-warni dan menarik dengan disusun secara kreatif dengan suasana landskap dalam taman.

Festival tersebut memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapat pengetahuan dan pengalaman dalam aspek landskap, hortikultur dan perkebunan.

Ia turut membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia khususnya Putrajaya sebagai lokasi festival taman dan bunga antarabangsa terulung.

Seorang pengunjung, Zanaria Mislah, 36, berkata, ini merupakan kunjungan ketiganya ke Floria Putrajaya sejak 2007.

''Saya dan keluarga saya tidak pernah terlepas untuk mengunjungi Floria Putrajaya sejak ia diadakan buat pertama kalinya pada 2007.

Gubahan bunga berbentuk 1Malaysia yang dipamerkan oleh Syarikat Bright Mark turut menjadi tarikan pengunjung yang melawat Floria Putrajaya 2010.

''Saya datang bersama suami dan anak-anak, festival ini sememangnya sesuai dikunjungi oleh seisi keluarga tidak kira yang tua atau muda," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Bagi Siti Fathiyah Othman, 27, pula, ini merupakan kunjungan kali pertamanya ke Floria Putrajaya.

''Sebagai wanita, saya memang tertarik dengan keindahan bunga yang dipamerkan di sini.

''Festival ini amat menarik, saya pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mengunjungi Floria Putrajaya yang diadakan pada masa depan," katanya.

Floria Putrajaya diadakan selama sembilan hari sehingga 18 Julai ini.

Ia dibuka secara percuma kepada orang ramai dari pukul 9 pagi hingga 10 malam setiap Isnin hingga Khamis dan dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam pada Jumaat hingga Ahad.


SUMBER DARI: UTUSAN MALAYSIA ONLINE

0 comments: