Monday, August 30, 2010

MERDEKA!!


Tuesday, August 24, 2010

UNIKL | PENGAMBILAN BAGI SESI JANUARI 2011

Maklumat Umum bagi Ambilan Diploma dan Bachelor


Kesemua calon-calon bagi program Diploma dan Bachelor dikehendaki membaca dan memahami maklumat umum seperti di bawah sebelum membuat permohonan secara online.

1.Permohonan bagi kemasukan Januari 2011 akan dibuka pada 14 Ogos 2010. Sila rujuk senarai program yang ditawarkan dan syarat kemasukan.

2.Semua permohonan mesti dibuat secara online. Tiada Nombor PIN atau yuran pemprosesan diperlukan ketika memohon.

3.Pemohon boleh menyemak status permohonan selepas 27 September 2010.

4.Hari Pendaftaran untuk kemasukan Januari 2011 adalah pada 02 Januari 2011

Thursday, August 19, 2010

JAWAPAN SUDOKU 17.8.10

Tahniah kepada yang telah berjaya menjawab dengan tepat!


Tuesday, August 17, 2010

Berita Harian Online | IHYA RAMADAN: INDIVIDU BERPUASA DITUNTUT SENTIASA BERSIKAP MURAH HATI

AMALAN yang menghidupkan Ramadan ialah memperbanyakkan sedekah kerana sikap bermurah hati pada Ramadan adalah dituntut. Ibn Abbas melaporkan: “Rasulullah adalah orang yang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi pada Ramadan ketika Jibril menemuinya lalu membacakan padanya al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari)

Membaca al-Quran
Disunatkan memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan kerana ia bulan al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: “... bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185) Malaikat Jibril sentiasa bertadarus al-Quran dengan Nabi SAW setiap hari sepanjang Ramadan. Para salaf mendahulukan bacaan al-Quran daripada ibadah lain. Sebahagian salaf khatam al-Quran dalam masa tiga hari, sebahagiannya tujuh hari dan 10 hari pada Ramadan.

Saidina Uthman bin Affan khatam al-Quran setiap hari pada Ramadan. Imam Zuhri berkata apabila tiba Ramadan, “Sesungguhnya Ramadan itu bulan membaca al-Quran dan menyediakan makanan untuk orang berpuasa.”

Memberikan makan kepada orang yang berbuka puasa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberikan makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya seperti pahala (orang yang berpuasa) dalam keadaan tidak berkurung sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu.” (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan ad-Darimi)

Qiamullail
Disunatkan berjaga malam secara berjemaah pada bulan Ramadan iaitu solat terawih dan waktunya di antara solat Isyak hinggalah terbitnya fajar. Nabi sangat gemar mendirikan malam pada bulan Ramadan.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menghidupkan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan pahala daripada Allah Taala, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.”
(Hadis riwayat Bukhari)

Solat tarawih
Solat tarawih adalah solat khusus yang hanya dilakukan pada Ramadan. Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya dilakukan secara berjemaah di masjid. Di sesetengah tempat, sebelum solat tarawih, diadakan ceramah singkat bagi menasihati jemaah.

Mengerjakan umrah
Perkara disunatkan pada Ramadan adalah mengerjakan umrah berdasarkan sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Umrah pada Ramadan (pahalanya) sama dengan (pahala) mengerjakan haji atau mengerjakan haji bersamaku.” (Hadis riwayat Bukhari)

Zakat fitrah
Zakat fitrah dikeluarkan khusus pada Ramadan atau paling lambat sebelum selesainya solat sunat hari raya. Setiap Individu Muslim yang berkemampuan wajib membayar zakat fitrah. Nilai zakat fitrah adalah satu gantang makanan ruji atau setara dengan 2.7 kilogram beras. Di Malaysia, nilai zakat fitrah ditentukan oleh pihak berkuasa agama negeri.


SUMBER DARI: BERITA HARIAN ONLINE

SUDOKU 17.8.10

Selamat mencuba!!

Jawapan akan disiarkan pada hari Khamis ini. Semoga berjaya!!

Thursday, August 12, 2010

JAWAPAN SUDOKU 10.8.10

Tahniah kepada yang telah berjaya menjawab dengan tepat! Nantikan Sudoku seterusnya pada setiap hari Selasa.

Wednesday, August 11, 2010

LAWATAN PERDAGANGAN KE KELANTAN

Pusat Usahawan MARA (PUSMA) Negeri Selangor telah menganjurkan lawatan perdagangan ke negeri Kelantan pada 30 Julai hingga 1 Ogos 2010. Lawatan tersebut turut disertai oleh pegawai- pegawai MARA daerah sebagai urusetia.

Peserta diberi penerangan sebelum bertolak
Tiba di Kelantan jam 7.40 pagi, siap sedia untuk sarapan pagi
Lokasi sarapan pagi hari pertama
Wisma Cikgu Hamid
Lokasi lawatan pertama, Nordin Batik
Bahagian dalam Wisma Nordin
Nordin Batik
Demo cantingan batik
Pekerja menunjukkan kreativiti mencanting batik
Wisma Anisah
Lokasi lawatan kedua, Che Minah Songket
Pekerja menunjukkan cara- cara menenun songket
Cik Mazinah (PUSMA Selangor) menyampaikan cenderahati
Usahawan sel di kilang Al- Jabbar
Penerangan daripada wakil Al- Jabbar
Bilik pembungkusan kopi Al-Jabbar
Lawatan ke kilang Docman
Lawatan ke kilang frozen food - Ainaa
Sesi business matching  di Pejabat MARA Kelantan

Bengkel membuat serunding
Lawatan ke Permata Hijrah
Demo rawatan mata

Utusan Malaysia Online | 444 RUMAH PENDUDUK MISKIN DIBAIKI

RAUB 10 Ogos - Pusat GiatMara membaik pulih 444 rumah keluarga miskin tegar di bawah program 'Baik Pulih dan Membina Rumah' di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Pengerusi GiatMara, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, sehingga kini, sebanyak 389 rumah berjaya dibaik pulih dan dibina semula manakala 44 buah lagi akan siap sebelum tamat tempoh RMK-9.

Katanya, GiatMara menyediakan peruntukan antara RM8,000 sehingga RM15,000 bagi membaiki rumah dan RM30,000 bagi membina rumah baru kepada keluarga terbabit.

"Rumah usang yang masih boleh didiami akan diperbaiki semula manakala rumah keluarga miskin yang musnah akibat kebakaran dan bencana banjir akan dibina baru.

"Pelatih GiatMara akan diberi tanggungjawab membina rumah berkenaan sebagai satu tanggungjawab sosial dan secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi kemahiran pelatih dalam bidang pembinaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek ekonomi desa di Kampung Temau, Dong dekat sini hari ini.

Shahiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berkata, penggunaan tenaga pelatih tersebut dapat menjimatkan kos upah membina dan membaik pulih rumah tersebut.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa membela kebajikan rakyatnya terutama membabitkan kemiskinan.

Tambahnya, kerajaan tidak pernah tidak memilih bulu dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya supaya setiap rakyat dapat hidup dalam kemakmuran sejajar dengan gagasan 1Malaysia.


SUMBER DARI: UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Berita Harian Online | IHYA RAMADAN

RAMADAN adalah bulan mulia yang mempunyai kelebihan tersendiri antaranya:

•Ramadan penghulu semua bulan.
Diriwayatkan al-Tabarani dalam al-Kabir, “Penghulu bulan ialah Ramadan dan penghulu hari ialah Jumaat.” •Dibuka pintu syurga. Diriwayatkan Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah: “Apabila datang Ramadan, dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan syaitan dibelenggu.”

•Diampunkan dosa sehingga Ramadan akan datang.
Hadis riwayat Muslim yang diriwayatkan Abu Hurairah: “Solat fardu lima waktu, Jumaat kepada Jumaat dan Ramadan kepada Ramadan, akan diampunkan di antara keduanya sekiranya seseorang itu melakukan dosa besar.”

•Ganjaran daripada Allah.
Diriwayatkan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda bermaksud: “Allah berkata: Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa dan Aku yang akan membalasnya. Bagi orang berpuasa ada dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan berjumpa dengan Tuhannya. Dan perubahan bau mulut orang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah berbanding haruman kasturi.”

•Diampunkan dosa terdahulu.
Hadis ini diriwayatkan sebilangan ahli hadis termasuk Bukhari dan Muslim iaitu: “Sesiapa menghidupkan Ramadan dalam keadaan beriman dan ikhlas (kepada Allah), diampunkan dosanya (yang terdahulu).”

•Diturunkan al-Quran.
Nabi Muhammad SAW berkata: “Diturunkan suhuf Nabi Ibrahim pada awal malam Ramadan dan diturunkan Taurat pada 6 Ramadan dan diturunkan Injil pada 13 Ramadan dan diturunkan Zabur pada 18 Ramadan dan diturunkan al-Quran pada 14 Ramadan.” (al-Mu’jam al-Kabir)

•Malam Lailatulqadar.
Abu Hurairah melaporkan bahawa Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan reda Allah maka akan diampuni dosanya yang lalu dan sesiapa yang qiamullail pada malam Lailatulqadar dengan penuh iman dan mengharapkan reda Allah maka akan diampuni dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari)

•Dibebaskan daripada api neraka.
“Sesungguhnya bagi Allah hamba yang bebas (daripada api neraka) setiap berbuka, dan demikian itu pada setiap malam.” (Hadis riwayat Ahmad)


SUMBER DARI: BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, August 10, 2010

SUDOKU 10.8.10!!

Sudoku bagus untuk mereka yang sukakan cabaran. Permainan yang mampu mencabar daya berfikir dan mendorong pemain untuk lebih fokus. Selamat mencuba!!

Jawapan akan disiarkan Khamis ini. Selamat berjaya!!

Berita Harian Online | MARA LULUS 43 PROJEK BANTUAN BAIK PULIH RUMAH

PARIT BUNTAR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) sudah meluluskan 43 projek bantuan baik pulih rumah penduduk miskin di negeri ini dengan 13 daripadanya diperuntukkan untuk kawasan Parlimen Parit Buntar.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Sektor Pembangunan Latihan) MARA, Jamal Nasir Othman berkata, secara keseluruhan sebanyak 465 projek bantuan baik pulih rumah penduduk miskin seluruh negara dengan kos berjuta ringgit sudah diluluskan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini. Beliau berkata, setiap projek yang diluluskan bernilai antara RM8,000 hingga RM11,000 iaitu bergantung kepada keadaan rumah yang perlu diperbaiki dan dibaik pulih itu. Katanya, kerja membaik pulih rumah itu diserahkan kepada bekas pelatih Giat Mara yang mempunyai pengalaman atau sudah menjalani kursus dalam pembinaan rumah.

Semua kerja baik pulih projek rumah berkenaan dijangka siap keseluruhannya menjelang Aidilfitri dan diharap penerimanya akan dapat menyambut Hari Raya bersama keluarga dengan lebih selesa," katanya selepas majlis penyampaian dokumen kelulusan projek di Dewan Balai Penghulu Mukim Tanjung Piandang dekat sini.

Hadir sama, Pengurus Giat Mara Perak, Rosman Ibrahim; Pengurus Giat Mara Parit Buntar, Saiful Bahari Ismail dan Penghulu Mukim Tanjung Piandang, Mohamad Eslah.

Jamal Nasir berkata, projek itu dilaksanakan di setiap kawasan Parlimen dengan jumlah diluluskan bergantung kepada peruntukan dan pemohon yang layak.

Beliau berkata, Pihak Berkuasa Pembangunan Daerah melakukan pemilihan penduduk miskin yang layak sebelum nama itu dikemukakan kepada MARA untuk kelulusan dan dilaksanakan.

Katanya, dalam tinjauan dilakukan, penduduk daif dan miskin ini bukan dalam rumah yang uzur dan tidak sempurna serta tidak selamat, selain tidak mempunyai keperluan asas sewajarnya.

"Golongan ini wajar menerima bantuan projek baik pulih ini bagi memberi mereka keselesaan dalam kehidupan harian," katanya.


SUMBER DARI: BERITA HARIAN ONLINE