Tuesday, August 10, 2010

Berita Harian Online | MARA LULUS 43 PROJEK BANTUAN BAIK PULIH RUMAH

PARIT BUNTAR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) sudah meluluskan 43 projek bantuan baik pulih rumah penduduk miskin di negeri ini dengan 13 daripadanya diperuntukkan untuk kawasan Parlimen Parit Buntar.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Sektor Pembangunan Latihan) MARA, Jamal Nasir Othman berkata, secara keseluruhan sebanyak 465 projek bantuan baik pulih rumah penduduk miskin seluruh negara dengan kos berjuta ringgit sudah diluluskan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini. Beliau berkata, setiap projek yang diluluskan bernilai antara RM8,000 hingga RM11,000 iaitu bergantung kepada keadaan rumah yang perlu diperbaiki dan dibaik pulih itu. Katanya, kerja membaik pulih rumah itu diserahkan kepada bekas pelatih Giat Mara yang mempunyai pengalaman atau sudah menjalani kursus dalam pembinaan rumah.

Semua kerja baik pulih projek rumah berkenaan dijangka siap keseluruhannya menjelang Aidilfitri dan diharap penerimanya akan dapat menyambut Hari Raya bersama keluarga dengan lebih selesa," katanya selepas majlis penyampaian dokumen kelulusan projek di Dewan Balai Penghulu Mukim Tanjung Piandang dekat sini.

Hadir sama, Pengurus Giat Mara Perak, Rosman Ibrahim; Pengurus Giat Mara Parit Buntar, Saiful Bahari Ismail dan Penghulu Mukim Tanjung Piandang, Mohamad Eslah.

Jamal Nasir berkata, projek itu dilaksanakan di setiap kawasan Parlimen dengan jumlah diluluskan bergantung kepada peruntukan dan pemohon yang layak.

Beliau berkata, Pihak Berkuasa Pembangunan Daerah melakukan pemilihan penduduk miskin yang layak sebelum nama itu dikemukakan kepada MARA untuk kelulusan dan dilaksanakan.

Katanya, dalam tinjauan dilakukan, penduduk daif dan miskin ini bukan dalam rumah yang uzur dan tidak sempurna serta tidak selamat, selain tidak mempunyai keperluan asas sewajarnya.

"Golongan ini wajar menerima bantuan projek baik pulih ini bagi memberi mereka keselesaan dalam kehidupan harian," katanya.


SUMBER DARI: BERITA HARIAN ONLINE

0 comments: