RAUB 10 Ogos - Pusat GiatMara membaik pulih 444 rumah keluarga miskin tegar di bawah program 'Baik Pulih dan Membina Rumah' di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Pengerusi GiatMara, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, sehingga kini, sebanyak 389 rumah berjaya dibaik pulih dan dibina semula manakala 44 buah lagi akan siap sebelum tamat tempoh RMK-9.
Katanya, GiatMara menyediakan peruntukan antara RM8,000 sehingga RM15,000 bagi membaiki rumah dan RM30,000 bagi membina rumah baru kepada keluarga terbabit.
"Rumah usang yang masih boleh didiami akan diperbaiki semula manakala rumah keluarga miskin yang musnah akibat kebakaran dan bencana banjir akan dibina baru.
"Pelatih GiatMara akan diberi tanggungjawab membina rumah berkenaan sebagai satu tanggungjawab sosial dan secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi kemahiran pelatih dalam bidang pembinaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek ekonomi desa di Kampung Temau, Dong dekat sini hari ini.
Shahiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berkata, penggunaan tenaga pelatih tersebut dapat menjimatkan kos upah membina dan membaik pulih rumah tersebut.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa membela kebajikan rakyatnya terutama membabitkan kemiskinan.
Tambahnya, kerajaan tidak pernah tidak memilih bulu dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya supaya setiap rakyat dapat hidup dalam kemakmuran sejajar dengan gagasan 1Malaysia.
SUMBER DARI: UTUSAN MALAYSIA ONLINE
SUMBER DARI: UTUSAN MALAYSIA ONLINE
0 comments:
Post a Comment