Monday, September 6, 2010

Berita Harian Online | TABUNG YPM

Oleh Nurul Hidayah Khalid

Kumpul dana bantu pelajar kurang berkemampuan

YAYASAN Pelajaran Mara (YPM) akan melancarkan Tabung Kumpulan YPM di seluruh negara bermula November ini bagi membantu pelajar daripada golongan kurang berkemampuan melanjutkan pengajian masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shariff Hamid, berkata untuk tempoh percubaan sebanyak 500 tabung akan diletakkan di kawasan tumpuan ramai termasuk bangunan kerajaan, pusat beli belah dan restoran. Beliau berkata, jumlah tabung itu akan ditambah dari semasa ke semasa ke beberapa lokasi pilihan. Hasil sumbangan akan diagih-agihkan mengikut nisbah yang sudah ditetapkan YPM mengikut kepentingan kumpulan sasar. “Masyarakat ramai tidak tahu bagaimana dan cara menghulurkan sumbangan, oleh itu mereka boleh menyalurkan pemberian itu kepada tabung berkenaan.

“Kami yakin inisiatif ini dapat mengumpulkan lebih banyak dana untuk disalurkan kepada mereka yang begitu memerlukan.

“Laporan mendapati, masih ada pelajar cemerlang tidak dapat meneruskan pengajian disebabkan masalah keluarga,” katanya ketika ditemui pada majlis menyediakan barangan kelengkapan raya kepada anak yatim dan miskin di pusat beli belah Mydin, di Subang Jaya, baru-baru ini.

YPM kata Shariff, meneruskan kesinambungan meningkatkan kualiti pendidikan anak bangsa menerusi program bimbingan pelajar secara bersepadu.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan 100,000 pelajar seluruh negara berpeluang mengikuti program motivasi, kaunseling, bimbingan pendidikan dan teknik menjawab soalan peperiksaan.

“Program berkenaan bukan hanya disertai pelajar cemerlang malah turut disertai mereka yang tercicir dalam pelajaran.

“Golongan ini perlu diberi bimbingan berterusan bagi membolehkan mereka memilih program yang sesuai dengan kelayakan dan minat sebaik menamatkan persekolahan,” katanya.

Selaras dengan slogan YPM ‘Pelengkap Ilmu Pendidikan Bumiputera’, Shariff berkata, pihaknya bekerjasama dengan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) Bumiputera bagi menyediakan kemudahan kepada mereka yang tidak cukup wang untuk berdaftar ke IPTS berkenaan.

YPM juga kata beliau, turut menawarkan skim anak angkat iaitu pelajar anak yatim dan miskin untuk dibiayai pendidikan mereka oleh keluarga angkat.

“Melalui skim itu, kos pembiayaan pelajar sekolah rendah berjumlah RM60 manakala RM80 bagi sekolah menengah. Kaedah pembiayaan boleh dilakukan dengan membuat potongan terus kepada penerima.

“Pembiayaan yang dikecualikan daripada cukai pendapatan boleh dikemukakan menerusi surat yang disahkan YPM,” katanya.


SUMBER DARI: BERITA HARIAN ONLINE

0 comments: