Pelatih-pelatih bergambar dengan Pengarah IKM, Kamaruzdzaman Md. Ali (empat, kiri)
dan tenaga pengajar jurusan Inkubator, baru-baru ini.
KOTA KINABALU 14 Okt. - Kewujudan Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu pada Julai 2002 pastinya membuka lembaran baru kepada sistem pendidikan kemahiran di negeri ini.
IKM Kota Kinabalu merupakan institut kemahiran kendalian Mara yang pertama di Sabah dan yang ke-13 dibina di Malaysia.
Jadi ia pastinya dikenali sebagai pusat latihan kemahiran yang telah melahirkan ramai tenaga mahir di kalangan bumiputera di negeri ini.
Rata-rata masyarakat negeri ini pastinya mengetahui mengenai pelbagai kursus kemahiran yang ditawarkan IKM Kota Kinabalu pada masa ini.
Namun di sebalik pelbagai kursus dan sumbangan institut itu, IKM Kota Kinabalu sebenarnya turut menawarkan perkhidmatan membaik pulih kenderaan.
Menurut Ketua Pusat Inkubator IKM, Mohd. Syukri Abdullah, perkhidmatan di pusat itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Katanya, rata-rata pelanggan amat berpuas hati dengan hasil kerja pelatih IKM yang begitu mahir.
Malah katanya, dengan pemantauan pensyarah dan juga peralatan yang lengkap membuatkan pelanggan yang datang yakin dengan kualiti dihasilkan.
"Apatah lagi perkhidmatan di sini adalah berpatutan dan lebih murah kira-kira 30 peratus berbanding di luar," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Beliau memberitahu, pada masa ini terdapat 25 pelajar mengikuti program inkubator ini yang terdiri daripada lepasan IKM.
Katanya, kesemua pelatih di sini adalah bekas pelatih IKM yang telah dilatih dan mahir dalam melakukan kerja.
"Selain itu mereka juga akan dipantau oleh pensyarah dan akan dibantu sekiranya menghadapi masalah," katanya.
Menurutnya, pusat tersebut dibuka tujuh hari seminggu bermula pukul 7.30 pagi hingga pukul 7 malam.
Katanya, pada masa ini pihaknya menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti melibatkan enjin dan membaik pulih badan kenderaan.
"Antara servis termasuklah menukar minyak enjin, servis penghawa dingin, servis tayar, baiki enjin, tukar enjin, cuci kereta dan sebagainya.
"Malah servis terbaru kami ialah SPA kereta yang ditawarkan pada harga RM100," katanya.
Dua pelatih IKM, Alexander Philips (kanan) dan Larry Laway membaiki kenderaan di pusat Inkubator IKM Kota Kinabalu.
Dalam pada itu, katanya, dalam kerja membaik pulih badan kenderaan pihaknya turut menawarkan perkhidmatan mengecat dengan harga berpatutan dari RM750 hingga RM3,800.
Selain itu, katanya, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan mengecat antikarat dari harga RM80 hingga RM120.
"Pelanggan tidak perlu risau dengan kualiti di sini kerana kami mempunyai peralatan yang cukup termasuk bilik mengecat yang canggih, malah harga juga amat berpatutan," katanya.
Seorang pelatih bahagian enjin, Alexander Philips, 23, berkata, peluang menggunakan inkubator itu amat berguna dalam mengasah kemahirannya membaiki kereta.
"Sejurus habis belajar pada 2008 saya terus ke sini dan di sini saya dapat memahirkan diri dengan dibantu oleh pensyarah dan kawan-kawan.
"Di sini juga saya dapat membiasakan diri menggunakan pelbagai peralatan yang lengkap," katanya yang bercita-cita membuka bengkel sendiri.
Larry Laway, 22, pula berkata, penglibatannya dalam inkubator itu telah memberi keyakinan kepadanya untuk berdikari dan membuka bengkel sendiri.
Katanya, hasil tunjuk ajar rakan dan pensyarah membuatkan dia dapat menjalankan kerja dengan baik dan berkualiti.
Bagi Awang Azahari Madrin, 20, selain memahirkan lagi kebolehannya membaik pulih badan kenderaan peluang tersebut digunakan untuk mengumpul modal.
Katanya, pada masa ini dia dan rakannya tidak putus-putus menerima kereta untuk dibaik pulih dan dicat.
"Adalah mustahil bagi saya terus membina bengkel mengecat kereta kerana kos bagi membeli peralatan khususnya bilik cat agak mahal.
"Jadi di sini saya juga mengumpul modal sedikit demi sedikit bagi membuka bengkel sendiri," katanya.
Sesiapa yang berminat untuk membaiki kenderaan bolehlah terus berkunjung ke IKM Kota Kinabalu atau mendapatkan maklumat lanjut dengan mengunjungi laman web http://www.ikmkk.com/.
SUMBER DARI: UTUSAN MALAYSIA ONLINE
SUMBER DARI: UTUSAN MALAYSIA ONLINE
0 comments:
Post a Comment