Thursday, October 28, 2010

Utusan Online | BAKAL USAHAWAN PERLU KUASAI 4 ELEMEN PENTING


Sebahagian peserta menyertai program Keusahawanan 2010 di Kuantan, semalam.


KUANTAN 27 Okt. - Bakal usahawan perlu menguasai 4D iaitu daya usaha, daya maju, daya saing dan daya tahan jika mahu menjadi usahawan berjaya serta menghadapi cabaran dunia perniagaan.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Pahang, Tengku Datuk Zulkifly Tengku Ahmad berkata, empat elemen itu penting dalam menyumbang kepada kejayaan seseorang usahawan terutama bakal usahawan muda yang berminat menceburi bidang keusahawanan.

"Tiada jalan pintas untuk menjadi usahawan berjaya selain daripada empat aspek yang sebutkan itu," katanya ketika merasmikan program Keusahawanan 2010 anjuran Jabatan Perdagangan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di Bahagian Teknologi Pendidikan Pahang di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Polisas, Datuk Abu Bakar Ahmad.

Menurut Zulkifly, sebelum mengambil keputusan untuk bergelar usahawan, bakal usahawan perlu mengenal pasti kekuatan diri di samping memahami selok-belok perniagaan yang ingin diceburi.

"Selain meminati bidang keusahawanan, bakal usahawan harus bersedia dari segi fizikal dan mental supaya mampu berdepan dengan kekangan,'' jelasnya.

Tambah beliau lagi, bakal usahawan harus berani berdepan dengan masalah kekangan modal, kemelesetan ekonomi dan bebanan hutang.

"Oleh itu, aspek 4D sangat penting dan harus menjadi prinsip dalam diri bakal usahawan. DPMM sentiasa menyediakan peluang kepada bakal usahawan yang berminat menceburi bidang ini dengan memberi khidmat nasihat selain berkongsi prospek bidang ini sebagai salah satu kerjaya pilihan," katanya.

Pada program itu, beberapa agensi seperti Tekun Nasional, Majlis Amanah Rakyat (Mara), SME Bank dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) turut dijemput menyampaikan taklimat kepada 400 peserta terdiri daripada penuntut tahun akhir Jabatan Perdagangan Polisas.


SUMBER DARI: UTUSAN MALAYSIA ONLINE

0 comments: