Monday, November 1, 2010

Utusan Online | IKM RM50j DI TASEK GELUGOR

NOR Mohamed Yakcop menyampaikan bantuan kepada seorang penerima di Majlis Ramah Mesra sempena perayaan Deepavali Parlimen Tasek Gelugor, semalam. Turut hadir, Pengerusi MIC bahagian Tasek Gelugor, B. Subramaniam (kanan). - BERNAMA




BUTTERWORTH 30 Okt. - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM50 juta bagi membina Institut Kemahiran Mara (IKM) di Ara Kuda, Tasek Gelugor dekat sini yang bakal menjadi mercu tanda baru pembangunan pendidikan di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Selain itu, sebuah institusi kemahiran dikenali sebagai Politeknik Metro juga akan dibina di kawasan tersebut yang dijangka memberi peluang kepada lebih ramai golongan belia untuk mengikuti kursus-kursus berasaskan kemahiran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, pembinaan kedua-dua institusi itu akan dimulakan awal tahun depan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

''Pembinaan kedua-dua institusi ini akan membuka peluang kepada pelajar-pelajar di daerah ini untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang kemahiran bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir.

''Ini adalah salah satu bukti komitmen kerajaan untuk meningkatkan tahap kemahiran terutamanya kepada para lepasan sekolah agar mereka tidak hanya bergantung kepada keputusan bersifat akademik semata-mata bagi mendapatkan pekerjaan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata demikian selepas menyampaikan bantuan Deepavali kepada 600 masyarakat India dari sekitar kawasan tersebut di pekarangan pusat khidmatnya di sini hari ini.

Nor Mohamed memberitahu, kos pembinaan Politeknik Metro adalah lebih rendah iaitu sekitar RM10 hingga RM20 juta memandangkan ia hanya melibatkan pengubahsuaian bangunan kedai sedia ada.


0 comments: