Tuesday, May 18, 2010

Berita Harian Online | PUSAT PENDIDIKAN DIGESA LAHIR GRADUAN BERDIKARI

GEORGETOWN: Kementerian Pengajian Tinggi menggesa universiti dan pusat pendidikan menumpukan kepada usaha melahirkan graduan yang berdikari serta mampu menghadapi cabaran dunia luar daripada memenuhi objektif masing-masing.

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata objektif universiti dan pusat pengajian tinggi bukan saja menyiapkan pelajar untuk menempuhi alam pekerjaan tetapi melatih dalam menguasai keperluan sesuatu pekerjaan. “Jika institusi hanya menumpukan usaha mencapai matlamat kontemporari seperti pelaksanaan kurikulum yang memenuhi keperluan pasaran kerja, kajian yang ditaja, aktiviti pembangunan dan usaha komersial sebagai penunjuk prestasi, pelajar mungkin terkeliru. “Jika dilihat, mengapa harus dianjurkan program pekerjaan walaupun pelajar sudah menghabiskan empat tahun di universiti dan ini menunjukkan kita hanya menyuap' manakala pelajar menerima apa saja,” katanya selepas merasmikan majlis Global Learn Asia Pacific 2010 di Batu Feringgi, di sini, semalam.

Majlis diadakan selama empat hari bermula semalam itu dihadiri 480 peserta dari 48 negara, dianjurkan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan Universiti Terbuka Wawasan (WOU).

Saifuddin berkata, kesungguhan universiti menggabungkan kemajuan teknologi untuk memudahkan akses sumber pendidikan tinggi harus disokong pendidikan lebih holistik hingga mampu mengajar erti kehidupan.

"Melihat hasil dari universiti, ramai graduan menjadi doktor, jurutera dan bidang profesional lain tetapi pada masa sama, penyakit sosial juga meningkat,” katanya.

0 comments: