Wednesday, May 5, 2010

JIWA 1 MALAYSIA

Oleh Basir Zahrom

MRSM Bentong menang hadiah khas

MAKTAB Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong, Pahang terpilih sebagai penerima hadiah khas
 Pertandingan Semarakkan Jiwa 1Malaysia sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun lalu, anjuran Cerdik Publications Sdn Bhd (Cerdik Publications) dan Berita Harian Sdn Berhad kerana menghantar penyertaan terbanyak.

Maktab itu mengetepikan 14 sekolah menengah lain dari seluruh negara dalam pertandingan yang dijalankan sepanjang September tahun lalu dengan menghantar sebanyak 471 penyertaan daripada lebih 4,000 keseluruhannya.

Dengan kemenangan itu, MRSM Bentong menerima sumbangan hadiah berupa bahan pembelajaran dalam kelas, bahan bacaan bersiri dan novel bernilai RM3,000 daripada Cerdik Publications.

Pengetuanya, Mohd Yusoff Hassan, berkata beliau sering menggalakkan pelajarnya menyertai pertandingan berkonsep ilmiah atau yang mampu membantu perkembangan bakat pelajar.

“Saya selalu mengingatkan pelajar, peluang yang ada perlu dimanfaatkannya, sebaik mungkin untuk mencapai kejayaan. Walaupun MRSM ini baru beroperasi dua tahun, kami sentiasa berusaha untuk menaikkan namanya tidak mengira dari segi akademik atau kokurikulum.

“Kita bukan saja boleh berbangga dengan kemenangan ini, malah dalam masa sama ia memberi pengalaman kepada pelajar membuktikan kreativiti masing-masing seterusnya menyemarakkan konsep 1Malaysia melalui sajak dan puisi yang mereka hasilkan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya ketika majlis penyampaian hadiah daripada Cerdik Publications, di MRSM, Bentong, Pahang, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Promosi dan Pembangunan Jualan Wilayah Cerdik Publication Sdn Bhd, Inder Singh; Timbalan Pengetua Kokurikulum MRSM Bentong, Maznan Maamor; Timbalan Pengetua Hal Ehwal Akademik, Dr Hamzan Omar; Ketua Jabatan Bahasa, Noor Arbaiyah Jalalludin dan Guru Kanan Bahasa Melayu, Azlina Hamimi.

Sementara itu, Inder Singh berkata, peraduan yang julung kali itu dianjurkan itu bertujuan menggalakkan pelajar memahami konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

“Diharapkan untuk tahun ini dan akan datang, penyertaan pertandingan ini akan bertambah dan kesungguhan MRSM Bentong boleh dijadikan contoh dalam usaha menyemarakkan konsep 1Malaysia.

“Bagi pertandingan akan datang, pihak kami akan menambah bilangan hadiah khas ini kepada lima sekolah berbanding hanya satu buat masa ini,” katanya.

0 comments: