Friday, May 7, 2010

Berita Harian Online | TINJAUAN MESRA, BLOG CARA NAJIB DEKATI RAKYAT

Oleh Faiza Zainudin
bhnews@bharian.com.my

Kaedah PM disenangi, dapat selesai masalah masyarakat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau akan terus melakukan tinjauan mesra ke merata tempat di seluruh negara kerana cara itu membolehkannya berhubungan dan mendekati rakyat. Perdana Menteri berkata, selain tinjauan mesra, beliau juga akan terus berhubungan dengan rakyat melalui blognya, laman sosial Facebook dan Twitter.

Najib juga berharap beliau dapat mengadakan sesi minum petang dengan rakan Facebook, selepas sesi pertama sebelum ini berjaya dan berdoa akan ada lebih banyak peluang baginya untuk mengundang ramai rakan Facebook pada masa depan.

“(Melalui tinjauan mesra) bukan saja saya dapat bertemu mereka (rakyat)... saya sendiri boleh melihat keadaan mereka yang sebenarnya. Saya memang merancang tinjauan mesra yang saya adakan dengan harapan apabila saya pergi ke sana, bukan saja bertemu mereka (rakyat) tetapi (saya juga akan dapat) menyelesaikan masalah dan isu setempat mereka.

“Anda boleh meyakini, sebaik saja saya balik ke pejabat, semua isu ini akan mendapat perhatian, malahan saya sering kali mengumumkan beberapa kelulusan penting dari segi peruntukan kewangan supaya semua masalah dapat ditangani sebaik-baiknya,” kata Perdana Menteri dalam rakaman video You Tube melalui laman web beliau http://www.1malaysia.com.my/.

Katanya, tinjauan mesra yang diadakan beliau mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat.

Najib menjawab soalan dikemukakan seorang pengunjung laman blog 1Malaysia beliau mengenai tinjauan mesranya.

Menjawab soalan pengunjung lain yang dikenali Denai Hati mengenai agenda memperkasa minda Melayu supaya menjadi minda antarabangsa, Perdana Menteri berkata keupayaan daya saing orang Melayu perlu diperkukuhkan melalui perubahan minda dan sikap supaya mereka dapat bersaing dengan bangsa lain pada peringkat antarabangsa.

“Sebab itulah walaupun kita meneruskan dasar afirmatif, kita akan mentransformasikan pendekatannya untuk membantu dan mem-berikan insentif kepada orang Melayu yang mempunyai potensi untuk maju.

“Dalam erti kata lain, mereka membuktikan kemampuan mereka... kerajaan pula membantu mereka untuk mencapai kejayaan yang lebih besar,” katanya.

0 comments: