Friday, May 14, 2010

Berita Harian Online | GENERASI ULUL ALBAB PACU PEMBANGUNAN NEGARA

Golongan perlu dibimbing secara berhikmah supaya taat beribadah, bentuk jati diri mulia

BELIA adalah aset berharga kerana merekalah tonggak kekuatan generasi serta pewaris kepemimpinan masa depan negara. Pada masa ini golongan belia dianggarkan 11.9 juta atau 41.5 peratus daripada keseluruhan 28 juta penduduk negara. Berdasarkan peratusan besar ini dan selari wawasan belia pemacu pembangunan satu ummah dan 1Malaysia, wajarlah golongan ini diasuh, dididik dan dibimbing menjadi generasi belia Ulul Albab. Umumnya generasi belia Ulul Albab merujuk kepada belia yang bertakwa, memiliki akal fikiran sempurna, berilmu, kreatif lagi berupaya menyelamatkan dirinya dari-pada pengaruh hidup budaya berdosa serta mampu menjadi pemangkin supaya orang lain juga berubah ke arah sedemikian.

Kehebatan generasi belia seperti ini menjamin kemakmuran dan kemajuan negara pada masa depan, ia selari tema sambutan Hari Belia Negara tahun, ‘Belia Kreatif Pemacu Pembangunan Negara’.

Persoalan besar ialah bagaimana usaha melahirkan generasi belia Ulul Albab. Berdasarkan sejarah Islam, pembabitan pendakwah berjiwa besar memberi sumbangan penting membentuk remaja dan belia Ulul Albab.

Rasulullah selain sebagai pemimpin umat, adalah seorang ketua pendakwah negara yang memberi penekanan khusus membimbing belia sentiasa taat beribadah kepada Allah, berakhlak mulia, menjaga kesihatan akal, kebersihan jasmani yang membawa kepada kesempurnaan peribadi.

Bimbingan ini akan mencorakkan jati diri beramanah dan bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak ada padanya kelakuan pelik dan menyeleweng.” (Hadis riwayat Ahmad)

Pemuda salih adalah individu yang menerima amanah paling baik sehingga kelihatan coraknya pada akhlak mereka. Generasi pemuda salih terus lahir seperti Khulafa’ al-Rasyidin, pemimpin tentera, pemimpin kerajaan di zamannya juga bertindak sebagai pendakwah negara.

Mereka berdakwah, mentarbiah dan temu mesra dengan kumpulan sasar serta menjadi contoh teladan kepada masyarakat khususnya belia.

Sejarah juga merakamkan kegigihan tentera Islam sejak kerajaan Umaiyyah, Abasiyah dan kepemimpinan awal kerajaan Othmaniah Turki untuk menawan Kota Constantinople (Istanbul) tetapi gagal.

Namun, tampil seorang anak muda iaitu Sultan Kerajaan Othmaniah Turki, Sultan Muhammad Al-Fateh, menghidupkan cahaya dakwah. Dalam usia 21 tahun, baginda berjaya menawan semula Constantinople daripada Rom. Antara penyebab kejayaan itu tertanam kekuatan, pintar dan kreatif.

Kota itu menjadi laluan dan pintu masuk penyebaran Islam di Eropah. Antara kata-kata baginda ketika melancarkan percubaan akhir pada hari ke 53 kepungan untuk menawan Constantinople ialah: “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah, sesiapa yang mahu syahid, ikutilah aku.”

Menurut riwayat, baginda tidak pernah meninggalkan solat fardu, solat sunat rawatib dan solat tahajud sejak baligh lagi. Demikianlah contoh kepemimpinan pendakwah negara di mana kekuatan rohani tidak dapat dipisahkan dalam diri mereka sebagai pemimpin.
Corak tingkah laku golongan belia masa kini adalah cerminan masa depan sesebuah negara. Oleh itu, demi membentuk akhlak mulia golongan belia, tugas dakwah membimbing mereka perlu dilaksanakan dengan hikmah.

Jangan dibiarkan api mendekati minyak kerana ia akan menyemarakkan lagi api. Begitu juga penyebaran budaya yang menyemarakkan gelojak nafsu lebih lagi dalam dunia tanpa sempadan dan teknologi mudah diakses.

Ingatlah dan insaflah hawa nafsu dan syahwat adalah ujian yang besar untuk manusia, lebih-lebih lagi golongan remaja dan belia. Jika punca dan tempat menaikkan nafsu tidak dibendung atau ditutup, maka selagi itulah gejala keruntuhan akhlak dan moral akan terus berleluasa.

Pembabitan dengan penagihan dadah, berzina, pembuangan bayi, minum arak dan gejala sosial lainnya berpunca daripada kegagalan mengawal gelora syahwat dan hawa nafsu yang boleh menjatuhkan kualiti akhlak manusia setaraf binatang.

Firman Allah bermaksud: “Kami ceritakan kepadamu hal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk Dan Kami kuatkan hati mereka, semasa mereka bangun lalu berkata: Tuhan kami ialah tuhan yang menciptakan dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak akan menyembah Tuhan yang lain selain-Nya; jika tidak bermakna kami memperkatakan sesuatu yang jauh dari kebenaran.” (Surah al-Kahfi: 13-14)

Oleh itu, golongan belia perlu memastikan kehidupan di dunia ini mendapat perlindungan Allah kerana antara tujuh golongan dilindungi Allah di akhirat ialah pemuda yang hidup beribadah kepada Allah.

Semoga generasi belia negara sentiasa diberikan taufik hidayah oleh Allah seterusnya berjaya memainkan peranannya memacu pembangunan negara bangsa yang maju dan dihormati lagi dikasihi Allah.

Sumber: Khutbah Online Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

0 comments: