Tuesday, May 4, 2010

TELEVISYEN PESAING BUKU: UNGKU AZIZ

KUALA LUMPUR: Televisyen menjadi pesaing utama buku yang menyebabkan masyarakat kini lebih tertumpu kepada program menghiburkan berbanding bahan bacaan sebagai saluran ilmu.

Profesor Diraja Ungku Aziz berkata, berbeza dengan senario dulu, saluran televisyen masih tidak serancak kini apabila orang ramai disogokkan pelbagai rancangan menarik sepanjang tempoh 24 jam seperti hiburan dan sebagainya. “Dulu boleh dikira stesen televisyen yang ada, sekarang sudah ada kabel TV membuatkan penonton ‘terikat’ malah ada dikalangan mereka rasa membazir jika tidak menonton TV memandangkan segala siaran yang terkandung di dalamnya adalah berbayar.

“Apatah lagi membaca juga tidak dijadikan amalan sejak kecil sehingga seseorang individu itu lebih tertarik kepada televisyen berbanding buku atau bahan bacaan lain,” katanya selepas acara menandatangani buku terbarunya di sini, semalam.

Buku berjudul The Renaissance Man berharga RM50 senaskah itu memaparkan tiga isu utama yang menjadi perhatian ramai iaitu perpaduan nasional, bahasa dan kemiskinan luar bandar.

Mengulas mengenai kempen membaca, beliau berkata sewajarnya setiap kempen memberi fokus kepada golongan sasaran bukan hanya diadakan secara rambang tanpa melihat keberkesanannya.

“Dalam setiap perkara, kita perlu fokus begitu juga dengan kempen membaca. Sebagai contoh, kita perlu menggunakan pendekatan berbeza untuk kanak-kanak luar bandar dengan di bandar kerana lingkungan mereka berlainan,” katanya.

0 comments: