PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Majlis Penyelarasan Kebangsaan akan ditubuhkan bagi mengarus perdana latihan kemahiran vokasional dan teknikal bagi meningkatkan tarafnya selain memastikan tidak berlaku pertindihan penawaran kursus oleh pelbagai agensi kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pada masa sekarang kira-kira 100,000 pelajar memilih untuk terus memasuki pasaran kerja selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun kerajaan menyediakan latihan kemahiran vokasional dan teknikal yang mencukupi untuk mereka. "Peratusan pekerja mahir di negara kita hanya 25 peratus berbanding 40 peratus di Singapura dan 33 peratus di Korea Selatan. Justeru, kita perlu mengubah persepsi rendah masyarakat terhadap pendidikan teknikal dan vokasional sekiranya mahu modal insan yang sesuai untuk Model Ekonomi Baru (MEB) negara. "Kita juga dapati berlaku pertindihan dalam 189 daripada 469 kursus yang ditawarkan pelbagai agensi kerajaan manakala 75 peratus daripada latihan yang disediakan adalah di peringkat rendah iaitu Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2, sedangkan ia tidak memadai dalam agenda negara mencapai status negara maju.
"Jawatankuasa ini juga akan menyelaras kerangka latihan merangkumi kualiti tenaga pengajar, penyelarasan pembangunan kurikulum dan peningkatan kualiti sijil kemahiran," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, yang akan mempengerusikan Majlis Penyelarasan Kebangsaan itu.
MEB bagi menjadikan Malaysia negara sebagai ekonomi berpendapatan tinggi adalah mencabar kerana pada masa ini hanya 23 peratus daripada tenaga kerja tempatan yang berkemahiran khusus manakala kebolehpasaran siswazah pula kurang memuaskan.
Beliau berkata, pada 2009, 27 peratus siswazah institusi pengajian tinggi tempatan masih menganggur ketika konvokesyen iaitu dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian dan 33 peratus yang mendapat pekerjaan pula hanya memperoleh pendapatan kurang RM1,500.
Sehubungan itu, katanya, penekanan tidak harus diberi terhadap pertambahan bilangan saja, sebaliknya yang lebih penting ialah kualiti pendidikan dan latihan selepas tamat pengajian yang diselaras mengikut permintaan pasaran kerja.
Antara lain, Muhyiddin mengesyorkan tumpuan terhadap bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT) bagi melahirkan modal insan bernilai tinggi dan berpendapatan tinggi kerana sektor itu disasar menyediakan 92,545 peluang kerja pada 2012 berbanding 73,784 peluang kerja tahun ini.
"Bagaimanapun, pada 2009, negara terpaksa mengambil 5,405 tenaga asing bagi sektor ICT tempatan dan kita sudah arahkan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) mengambil langkah perlu bagi mengatasi masalah ini, terutama dari segi teori, perkakasan dan keperluan industri," katanya.
Dalam perkembangan lain, mengenai saranan ibu bapa supaya mengekalkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah tertentu, seperti pengajaran menggunakan bahas ibunda di sekolah Tamil dan Cina, Muhyiddin berkata ia menimbulkan percanggahan dalam dasar kerajaan.
"Kerajaan sudah melakukan persiapan rapi bagi memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar seperti tambah jadual pengajaran serta mengambil tenaga pengajar terlatih dan kita minta ibu bapa beri peluang kepada kementerian," katanya.
0 comments:
Post a Comment