Wednesday, May 5, 2010

SKIM CEPAT KAYA BERLELUASA AKIBAT KEJAHILAN PELABUR


ENTAH berapa ramai lagi daripada kita akan terus terpedaya tawaran palsu penganjur skim cepat kaya walaupun mengetahui sudah ratusan ribu orang lesap berjuta-juta ringgit gara-gara tamak mahu mengaut untung besar dalam masa singkat. Walaupun pihak berkuasa khususnya Bank Negara terus bertindak tegas membanteras skim cepat kaya yang tidak putus-putus ditawarkan di pasaran, yang menghairankan masih ramai individu sanggup melabur dalam skim berkenaan walaupun menyedari pelaburan itu menyalahi undang-undang. Kelmarin, Bank Negara mendedahkan lebih RM300 juta milik kira-kira 150,000 pelabur lesap kerana menyertai skim pelaburan haram di seluruh negara sejak 2009. Kenapa kesedaran orang ramai mengenai risiko menyertai skim cepat kaya begitu rendah? Namun yang jelas, sikap tamak mahu mengaut untung berlipat ganda dalam masa singkat dan kejayaan propaganda mengatakan ramai pelabur sudah menikmati laba pelaburan akhirnya menutup ruang rasional minda mereka. Status mangsa penipuan skim cepat kaya pastinya turut merangkumi terpelajar kerana mereka diperangkap penganjur skim cepat kaya dalam internet. Namun, mungkin ada kes tulen yang menjadi mangsa kerana betul-betul terpedaya tipu muslihat pelabur yang sangat licik dengan bertopengkan pelbagai kegiatan perniagaan. Niat mangsa mungkin mahu menambah pendapatan tetapi malangnya niat sebenar penganjur skim ialah untuk memperdayakan mangsa. Bagi eksekutif yang memiliki wang ‘lebih’ adalah lebih baik mereka labur dalam sektor hartanah seperti membeli rumah, premis komersial dan kini menjadi trend untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi secara sambilan. Pelaburan untuk memiliki hartanah atau menambah ilmu pastinya lebih bijak berbanding melabur wang dalam ‘skim melabur untuk cepat miskin’. Melabur dalam skim insurans pendidikan anak dan kesihatan serta pelbagai produk insurans juga lebih memberi manfaat serta lebih terjamin. Pelaburan untuk ibadat juga sangat dituntut contohnya, menyimpan menunaikan umrah dan haji. Pada masa sama, institusi kewangan dan perbankan juga mesti kreatif untuk menawarkan produk baru yang lebih kontemporari supaya dapat menarik minat golongan yang memiliki ‘lebihan wang’ itu untuk melabur dalam skim berkenaan.

Sebelum ini, ramai individu turut terpedaya melabur dalam skim menternak cacing, keli dan lintah. Hakikatnya, ramai kalangan kita mudah terkesima dengan dakwaan ‘untung banyak dan cepat’ yang digembar-gemburkan pihak pentingkan diri. Mereka ini juga mudah terikut-ikut dengan melabur dalam kegiatan yang stereotaip atau tertumpu pada bidang yang sama. Contoh, pada era 1970-an dan 1980-an, ramai yang melabur dalam kilang kecil-kecilan membuat kicap dan sos. Berikutan mereka tidak mempunyai rangkaian pengedaran yang meluas selain kekurangan modal dan persaingan terlalu sengit kerana terlalu ramai pembekal untuk produk sama, akhirnya majoriti usahawan kicap dan sos itu gulung tikar. Di sini jelaslah, mempertaruhkan wang dalam apa juga pelaburan sama ada menyertai perniagaan atau menyimpan perlu diiringi ilmu serta maklumat. Untuk melabur, setiap individu memerlukan panduan yang betul supaya tindakan itu tidak tersasar sehingga akhirnya semua wang modal lesap atau kerugian.

0 comments: