Friday, May 14, 2010

Utusan Malaysia Online | AYUH! LAWAN CHINA

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
sukan@utusan.com.my

Antara barisan pemain negara (dari kiri) Koo Kien Keat, Tan Boon Heong, Lee Chong Wei dan Muhammad Hafiz Hashim yang menjadi sandaran meraih mata pada perlawanan separuh akhir menentang China, hari ini.


KUALA LUMPUR – Misi menumbangkan juara tujuh kali, China pada separuh akhir Piala Thomas hari ini mampu dilaksana asalkan kita tidak tersasar daripada percaturan asal - mengutip dua mata pertama daripada Datuk Lee Chong Wei dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Chong Wei dan Kien Keat-Boon Heong memegang ‘kunci’ yang mampu membawa Malaysia ke final, manakala peluang terbaik untuk mencari mata kemenangan dijangka hadir menerusi beregu kedua, sekalipun kita memilih untuk mengekalkan kombinasi baru, Zakry Latif-Hoon Thien How.

Andai, salah satu daripada Chong Wei atau Kien Keat-Boon Heong gagal memberikan mata, maka laluan Malaysia menjadi semakin perit.

Jika kedua-duanya pula gagal memenangi perlawanan, maka hanya keajaiban mampu memacu Malaysia untuk ke final.

“Percaturan kita adalah mengutip dua mata daripada dua perlawanan pertama, selepas itu barulah kita cari mata daripada salah satu tiga acara. Chong Wei dan Kien Keat-Boon Heong adalah kunci utama yang akan menentukan nasib pasukan.

“Kalau kedua-dua mata ini gagal kita kutip, maka hanya keajaiban yang akan menyelamatkan Malaysia. Tetapi saya percaya, Chong Wei mempunyai peluang ke atas Lin Dan jika melihat kepada prestasi baiknya ketika ini,” kata jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek.

Lin Dan mungkin memegang rekod pertemuan 13-6 ke atas Chong Wei, tetapi dia tidak pernah mengalahkan jaguh No. 1 dunia itu setiap kali bertemu di Malaysia iaitu kalah pada Terbuka Malaysia 2005 dan 2006.

Malah, Chong Wei juga terkenal sebagai pemain yang amat kebal di negara sendiri, selain miliki rekod baik ke atas Lin Dan dalam Piala Thomas, menewaskan jaguh China itu pada separuh akhir di Jakarta, dua tahun lalu.

Meskipun China tampak terlalu mantap daripada semua segi, namun menumbangkan negara tembok besar itu bukan misi mustahil.

Malah, ketika inilah pemain-pemain kita wajar menyerap semangat 1992 yang menyaksikan Rashid Sidek dan rakan-rakannya melakar keajaiban yang membawa Malaysia menjulang Piala Thomas buat kali terakhir, 18 tahun lalu.

__________________________________________________
"Semoga Berjaya Malaysia!!! All the best!! Caiyok~ Aja-aja fighting!! Majulah Sukan Untuk Negara"
__________________________________________________

0 comments: