Friday, June 4, 2010

Berita Harian Online | MARA PILIH UNIVERSITI TERSOHOR

Oleh Nurhayati Abllah

Kabinet setuju dasar baru utama tajaan untuk pelajar IPT tempatan

IPOH: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menetapkan, mulai tahun depan, penajaan untuk pelajar cemerlang di luar negara adalah untuk penempatan di universiti terkenal.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya sudah memutuskan lebih awal supaya MARA memberi fokus tajaan kepada pelajar yang mendapat tempat di universiti tersohor dan mempunyai reputasi baik seperti Harvard, Cambridge, Oxford, London School of Economics, Imperial College London dan Monash University di Australia. Pelaksanaan dasar baru itu dipersetujui Kabinet bagi membolehkan MARA mengutamakan tajaan untuk pelajar cemerlang di universiti tempatan sekali gus membantu mengurangkan kos penajaan pengajian tinggi bagi agensi berkenaan, katanya. "Penghantaran mereka hanya untuk pengajian ijazah pertama manakala bagi peringkat sarjana ia tertakluk kepada bidang tertentu yang kritikal seperti perubatan patologi dan bius selain mengikut keperluan semasa (tenaga kerja) di negara ini.

"Kita tidak mahu menghantar pelajar belajar ke luar negara dan akhirnya pengajian mereka hanya menyamai taraf seperti Universiti Malaya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Universiti Kuala Lumpur Royal College Medicine Perak (UniKL RCMP), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi MARA, Datuk Seri Idris Jusoh; Pengerusi UniKL, Datuk Dr Adham Baba dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Mohd Shafie berkata, masih banyak universiti tempatan yang mempunyai kualiti dan kemudahan pembelajaran serta prasarana setanding universiti di luar negara.

Ditanya kajian penambahbaikan yang dilakukan Mara, beliau berkata, MARA kini dalam proses melakukan perubahan dari aspek penstrukturan membabitkan pendidikan dan keusahawanan.

"Kita dalam perbincangan untuk membina lebih banyak bangunan mampu milik terutama ruang kedai bagi membantu melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera terutama Melayu,” katanya.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis pertukaran perjanjian persefahaman antara UniKL RCMP dengan Vinayaka Mission University (VMU), India yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Pengarah UniKL RCMP, Datuk Dr Zamani Mohd Noor dan Pro-Canselor VMU, Datuk Dr S Sharavanan.

Menerusi perjanjian itu, pelajar jurusan perubatan UniKL RCMP akan menamatkan pengajian 26 bulan pertama di kampus di Ipoh, manakala baki dua tahun setengah di VMU, Tamil Nadu, India.


SUMBER DARI: BERITA HARIAN ONLINE

0 comments: