Wednesday, June 30, 2010

Utusan Online | GIATMARA LAHIRKAN 4,205 USAHAWAN

KUALA PILAH 29 Jun - Seramai 4,205 usahawan dalam pelbagai bidang berjaya dilahirkan oleh pusat GiatMara sejak ia ditubuhkan pada 1986.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, bimbingan secara khusus dalam pelbagai bidang menjadikan usahawan GiatMara disifatkan sebagai menjuarai pembentukan modal insan negara.

Katanya, sehingga kini sebanyak 209 pusat GiatMara di seluruh negara terlibat dalam menghasilkan pelatih yang berkemahiran, proaktif dan berdaya saing.

"Kita tahu bahawa GiatMara sudah melalui pelbagai proses transformasi dan penambahbaikan bagi memastikan perjuangan untuk menghasilkan masyarakat berkemahiran serta membasmi kemiskinan di kalangan rakyat diteruskan.

''Dengan pembabitan dalam GiatMara ia dilihat dapat membantu mengurangkan penglibatan generasi muda dalam masalah sosial, malah dapat menyediakan golongan yang berkemahiran tinggi dalam pasaran kerja," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen dan Pelancaran Kelab Usahawan GiatMara Negeri Sembilan di Dewan Datuk Bahaman di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi GiatMara, Datuk Shahiruddin Ab. Moin dan Pengarah Mara negeri, Abdullah Muhamad.

Dalam pada itu, Hasan turut menggalakkan penubuhan Kelab Usahawan GiatMara di seluruh negara sekali gus dapat memberi peluang kepada ahlinya untuk menerokai bidang keusahawanan.

Katanya, langkah itu penting bagi meningkatkan bilangan bumiputera yang mempunyai kemahiran teknikal dan vokasional yang bersesuaian dengan keperluan negara dan sasaran utamanya ialah belia dan masyarakat setempat.

Pada majlis itu, Hasan menyerahkan sijil kepada 292 pelatih dari lapan GiatMara di seluruh Negeri Sembilan melibatkan sijil pendawaian elektrik, teknologi automotif, teknologi kimpalan dan fabrikasi logam, fesyen dan pembuatan baju dan elektronik industri.


SUMBER DARI: UTUSAN MALAYSIA ONLINE

0 comments: