SKUAD Selangor meraih pingat emas pertama bagi
acara gimnastik artistik lelaki di Politeknik Merlimau, semalam.
Dominasi tujuh edisi berturut-turut gimnastik artistik berpasukan lelaki
SELANGOR membuka tirai pingat Sukan Malaysia XIII (Sukma) 2010 kali ini, yang memasuki hari kedua dengan menuai emas pertama menerusi acara gimnastik artistik berpasukan lelaki selepas mengumpul 296.10 mata di Dewan Platinum Politeknik Merlimau, Melaka, semalam. Lebih manis kejayaan itu menyaksikan dominasi tujuh tahun berturut-turut Selangor dalam acara `kegemaran' mereka sejak menguasainya pada penganjuran sulung 1998. Pulau Pinang mempertahankan pingat perak dengan catatan 284.40 mata diikuti Sabah yang meraih gangsa selepas mengumpul 272.80 mata.
Dengan dua gimnas kebangsaan, Danniel Iskandar Richard selain gimnas berpengalaman, Mohd Azzam Azmi, Selangor dilihat tidak bermasalah menguasai enam aparatus - senaman lantai, gelang, melombol, palang tunggal, palang sejajar dan kekuda berpelana. Skuad itu turut diwakili Tan Fu Jie, Raja Firdaus, Choo Yinn Haur dan Subhan Sudarshan.
“Kemenangan ini adalah besar dan ia dapat dilihat menerusi jurang mata yang diraih antara kami dengan Pulau Pinang,” kata Pengurus Pasukan, James Eng. “Namun jumlah mata terkumpul kali ini lebih rendah berbanding edisi lalu kerana kami kehilangan gimnas senior, Yap Kim Bun.”
“Sandaran memang kepada Mohd Azzam kerana gimnas lain termasuk Danniel (Iskandar) lebih muda, malah lebih muda berbanding gimnas Pulau Pinang yang mempamerkan peningkatan. Saya berbangga dengan gimnas kami kerana pada awalnya kurang yakin dapat menewaskan mereka.”
Sementara itu, James berharap kemenangan semalam mampu menyuntik semangat gimnas wanita yang turun beraksi hari ini untuk menuai emas kedua berpasukan ketika peluang dilihat sama rata selepas gimnas tuan rumah, Cheong See Teng mengalami kecederaan tangan selepas sesi latihan kelmarin.
SUMBER DARI: BERITA HARIAN ONLINE
SUMBER DARI: BERITA HARIAN ONLINE
0 comments:
Post a Comment