Friday, June 18, 2010

Utusan Malaysia Online | MARA UTAMAKAN PELAJAR SARJANA


Mohd. Shafie Apdal beramah mesra dengan Ramli Ismail selepas merasmikan Sambutan Hari Pendidik Mara di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Ibrahim Muhamad (kanan).

KUALA LUMPUR 17 Jun - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menambah penghantaran pelajar bumiputera untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) di universiti luar negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ini selaras dengan dasar kerajaan yang mahu meningkatkan jumlah lulusan di peringkat tersebut di kalangan rakyat negara ini.

"Pada masa yang sama Mara juga akan mengurangkan penghantaran pelajar ke luar negara bagi peringkat ijazah pertama memandangkan universiti-universiti dalam negara mempunyai kualiti dan standard yang sama dengan universiti luar.

"Pengecualian hanya diberikan kepada pelajar-pelajar yang mendapat tempat di universiti-universiti ternama seperti Universiti Oxford dan Harvard,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Pendidikan Mara 2010 yang dihadiri kira-kira 700 pendidik dari agensi itu di sini hari ini.

Pada majlis itu Ramli Ismail diumumkan sebagai tokoh pendidik dan sebanyak 14 pendidik lain dianugerahkan sebagai pendidik terbilang Mara 2010.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menterinya, Datuk Joseph Entulu Belaun dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Muhamad.

Shafie memberitahu, pada masa ini Mara menghantar kira-kira 1,500 orang pelajar melanjutkan pelajaran pada peringkat ijazah pertama di luar negara dan ia akan dikurangkan dari semasa ke semasa.

Tegasnya, keputusan untuk mengurangkan penghantaran pelajar ijazah pertama memandangkan universiti-universiti tempatan telah dapat memenuhi keperluan pelajar.

Pada majlis itu beliau mengumumkan penubuhan Institut Antarabangsa Latihan Keguruan Mara di Jawi, Pulau Pinang yang akan dibuka pada tahun depan.

Katanya, IPMa bertujuan meningkatkan tahap profesionalisme warga di Institusi Pendidikan Mara (IPMa) yang bertugas di seluruh negara.

Selain itu beliau juga meminta Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) membuat perubahan pada kurikulum di maktab tersebut agar lebih memberi penekanan kepada bidang sains dan teknologi.

Shafie memberitahu, penekanan ini perlu dibuat memandangkan pelajar yang keluar dari MRSM melanjutkan pelajaran di bidang-bidang lain seperti ekonomi serta sosiologi.

''Kerajaan mahukan pelajar-pelajar lepasan MRSM ini melanjutkan pelajaran di bidang sains dan teknologi kerana itu adalah matlamat utama penubuhan Mara pada 1970-an,'' katanya.


SUMBER DARI: UTUSAN MALAYSIA ONLINE

0 comments: