Friday, June 18, 2010

Utusan Malaysia Online | BELI PRODUK TEMPATAN PERKUKUH JENAMA MALAYSIA

KUALA LUMPUR 17 Jun - Pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia bukan bertujuan melindungi industri tempatan sebaliknya usaha untuk mengukuhkan jenama serta produk tempatan sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mungkin ramai yang tidak menyedari terdapat produk keluaran pengusaha negara ini berjaya menembusi pasaran global sekali gus membuktikan barangan buatan Malaysia mampu bersaing di persada dunia.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil daripada usaha pengusaha berkenaan mengeluarkan produk-produk yang bermutu tinggi.

''Inilah tujuan kempen ini diadakan. Bukan tujuan melindungi tetapi kita mahu memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia akan kewujudan pelbagai barangan buatan tempatan yang sebenarnya cukup berkualiti.

''Kita mahu rakyat membuat pilihan yang tepat ketika membeli satu-satu barangan. Kita juga mahu menanam rasa bangga bahawa terdapat produk kita yang boleh bersaing di peringkat dunia,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan timbalannya, Datuk Rohani Abdul Karim.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib meminta syarikat-syarikat tempatan berani membuat pelaburan bagi program penjenamaan dan promosi yang konsisten supaya produk mereka menjadi pilihan pengguna.

"Syarikat-syarikat tempatan perlu sentiasa berusaha memupuk minda pengguna bahawa jenama mereka adalah yang terbaik.

"Justeru, industri dan peruncit tempatan harus sedar akan kepentingan penjenamaan dan pengiklanan bagi tujuan menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa,'' ujarnya.

Najib dalam ucapannya turut menyentuh mengenai sokongan rakyat dalam menentukan kejayaan satu-satu kempen yang dianjurkan oleh kerajaan.

"Untuk Kempen Beli Barangan Malaysia ini, peranan pengguna adalah amat penting kerana mereka yang akan mengeluarkan wang untuk membeli setiap produk yang dihasilkan.

"Sebenarnya kempen-kempen seperti ini merupakan satu pelaburan kerajaan dalam usaha menggalakkan orang ramai membeli barangan tempatan dan akhirnya membantu mengukuhkan lagi kewangan negara,'' katanya lagi.

Najib berkata, perbelanjaan melalui kempen seumpama itu juga akan memberi kesan limpahan kerana ia boleh meningkatkan pendapatan pengusaha tempatan selain guna tenaga akan bertambah.

"Kesannya, syarikat yang mendapat keuntungan itu akan membuat pelaburan semula iaitu dengan meningkatkan teknologi pengeluaran dan menghasilkan produk yang berinovasi untuk dipasarkan.

"Ia kemudian akan menyumbang kepada pendapatan negara melalui pembayaran cukai. Ini merupakan satu kitaran ekonomi yang sihat kerana kita saling bergantungan antara satu sama lain dan seterusnya mengukuhkan kedudukan ekonomi negara,'' katanya lagi.


SUMBER DARI: UTUSAN MALAYSIA ONLINE

0 comments: